JKKN Bukan sekadar buka puasa

DR Ong mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung.

Gambar: Dr. Ong mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung.

 

Duduk bersila beralaskan tikar di atas Jalan Raja di Dataran Merdeka sambil menikmati juadah berbuka puasa ringkas nyata sesuatu yang unik.

Kemeriahan itu antara keistimewaan menanti pengunjung terutama saat azan Maghrib dilaungkan menandakan masuknya waktu berbuka puasa.

Kegembiraan nyata terpancar di wajah usai berbuka puasa dengan hidangan ringkas, tetapi penuh bermakna.

Menjadi tetamu kehormat hampir setiap tahun, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Tan Sri Dr Ong Hong Peng langsung tidak kekok menjayakan program yang memasuki tahun kelima penganjurannya,Iftar@KL.

Merasakan Iftar@KL acara istimewa yang memberi manfaat kepada semua, ia juga secara tidak langsung mempamerkan keharmonian masyarakat Malaysia yang berbilang kaum kepada pelancong luar negara.

Iftar@KL sangat istimewa kerana ia bukan saja memberi peluang kepada pengunjung merasai kemeriahan berbuka puasa beramai-ramai, malah dapat mengeratkan hubungan masyarakat negara ini yang berbilang kaum.

“Ia juga secara tidak langsung mempamerkan keharmonian dan kesefahaman antara kaum di Malaysia kepada pelancong asing yang datang dari pelbagai negara.

“Selain menyemarakkan Ramadan tahun ini, Iftar@KL juga antara tarikan pelancongan yang boleh dijadikan medium untuk menarik pelancong datang ke negara ini pada bulan puasa.

“Kemeriahan berbuka puasa beramai-ramai di Dataran Merdeka menjadi tarikan pelancongan popular yang wajar dipromosikan.

“Dengan adanya pakej sesuai, pelancong dari negara Islam lain boleh berkunjung ke negara ini untuk merasai sendiri suasana dan kemeriahan bulan puasa di Malaysia berbanding di negara mereka.

“Pelancong bukan Islam juga pasti dapat turut sama dapat merasai keunikan dan kemeriahan berbuka puasa di negara ini,” katanya yang ditemui selepas merasmikan Program Iftar@KL 2016 anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui Jabatan Kebudayaan dan kesenian Negara (JKKN).

Sementara itu, pengunjung Asmida Saifulbahrin, 28 berkata, Iftar@KL bukan saja mencetuskan suasana berbuka puasa yang meriah tetapi dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Mengunjungi acara ini untuk tahun ketiga bersama keluarga, kata Asmida, suasana berbuka puasa di situ sangat meriah dan tidak sama di tempat lain.

“Di sini, kita boleh melihat ramai pengunjung daripada pelbagai kaum dan pelancong asing. Secara tidak langsung boleh mengeratkan hubungan silaraturahim.

“Solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah di tempat sama juga memudahkan pengunjung menunaikan kewajipan,” katanya.

Diadakan setiap Sabtu dan Ahad sepanjang Ramadan bermula 11 Jun lalu dan berakhir pada 26 Jun, Iftar@KLbertujuan menjadikan Ramadan sebagai bulan di mana kegiatan kerohanian dan kesenian Islam dapat disemarakkan kepada masyarakat khususnya generasi muda serta memupuk nilai murni melalui penganjuran pelbagai aktiviti.

Memasuki tahun kelima penganjurannya, Iftar@KL 2016 menyediakan kelainan pengisian berbanding tahun sebelumnya dengan menyediakan 14 komponen pengisian aktiviti, antaranya penyediaan dan pengagihan bubur lambuk, pertandingan nasyid Mentor Munsyid, tadarus al-Quran, tazkirah Ramadan, kapsul Ramadan, sukarelawan, Klinik Tahsin Al-Quran, jualan food truck, kaunter zakat, majlis berbuka puasa (Iftar), solat berjemaah (Maghrib, Isyak dan Tarawih), Bicara Ramadan, Konsert Ramadan dan moreh.

Author: 
Suliati Asri
Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Thursday, June 16, 2016