JKKN Busana Sabah

Gelaran “Negeri di Bawah "Bayu" membayangkan kedudukan negeri Sabah bukan sahaja dari sudut geografi tetapi juga keindahan yang tersirat di sebalik negeri yang kaya dengan adat tradisi, budaya, sejarah dan rupa buminya yang kehijauan serta luas mata memandang.

Keluasan negeri Sabah seluas 73620 km persegi ini menghimpunkan lebih 23 suku etnik dan setiap etnik kaya dengan adat dan budaya tradisional masing-masing. Busana tradisional mereka menggambarkan kekayaan hasil tangan seperti tenunan bersulam ‘linangkit’ dan kreativiti manik dan labuci serta pelbagai hiasan seperti hiasan kepala ‘sarempak’, hiasan leher ‘mandapun’, penutup kuku ‘keku’, tali pinggang berserta pending ‘ingkot pangkat’ juga selendang.

Kemahiran menghias pakaian dan cara berpakaian yang kemas dan cantik menjadikan koleksi pakaian negeri Sabah hebat, unik dan amat menarik perhatian.