JKKN Mengangkat martabat seni budaya - Norliza yakin JKKN platform terbaik bawa ke peringkat lebih tinggi

MUKADIMAH Fungsi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan antara lain memelihara dan mengembangkan seni dan budaya masyarakat Malaysia.

Menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah JKKN hampir 11 tahun,  Tan Sri Norliza Rofli sentiasa positif  memastikan jabatan itu berjalan mengikut landasan dan fungsinya.
Wartawan Utusan Malaysia, AMIRUL AIMAN ANUAR dan juru foto ZAINI HUSIN menemu bual beliau di pejabatnya baru-baru ini  bagi berkongsi mengenai  usaha yang telah, sedang dan akan diambil JKKN.  
Ini terutamanya dalam mendepani cabaran  memartabatkan seni budaya ke peringkat yang lebih tinggi.

UTUSAN MALAYSIA: Kongsikan tunjang kekuatan dan azam Tan Sri sebagai Ketua Pengarah di JKKN.

TAN SRI NORLIZA ROFLISaya tidak melihat isu jantina sebagai penghalang untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin.

Minat dalam seni dan budaya sudah lama dan terus kekal subur dalam sanubari ini.

Itulah yang menjadi tunjang kekuatan saya sehingga ke hari ini.

Sejak dari bangku sekolah saya didedahkan dengan pelbagai seni budaya melalui seorang guru berbangsa Filipina ketika menetap di Sabah kerana tuntutan tugas bapa di sana.

Minat itu dipupuk sedikit demi sedikit melalui kepelbagaian budaya yang terdapat di sana.

Bermula dari situlah saya ber­azam mahu menjadi pentadbir dalam pembelaan seni budaya warisan negara.

Saya mahu berkongsi dengan masyarakat Malaysia supaya dapat membina jati diri yang tinggi, mengamalkan nilai-nilai murni dan seterusnya mendukung tiga falsafah iaitu seni untuk seni, seni budaya untuk kesejahte-raan masyarakat dan seni budaya untuk penjanaan ekonomi.


Apa langkah yang sudah diambil bagi menyemarak dan me­rakyatkan seni dan budaya kalangan masyarakat?

Galakan terus diberikan JKKN melalui penyediaan kemudahan prasarana, garis panduan seni dan budaya, bantuan dana, khidmat nasihat, latihan dan pengiktirafan kepada penggiat seni.

Kebanyakan penggiat terdiri daripada warga tua dan agak sukar melahirkan pelapis bagi meneruskan delegasi satu-satu seni itu sebagai contoh persembahan Mek Mulong dari Kedah yang mirip dengan Mak Yong dari Kelantan.

Seni warisan dari masyarakat Siam-Melayu di Wang Tepus, Kedah itu hampir pupus 10 tahun lalu dan JKKN mengambil peranan turun padang mengenal pasti bakat pelapis dalam kalangan masyarakat di sini.

Apa pula strategi JKKN dalam mengangkat seni warisan bagi mendepani arus moden kini?

Usaha ini dapat digembleng melalui meningkatkan keberkesanan peranan JKKN melalui 14 JKKN di setiap negeri seluruh negara.

Ini meliputi kerja-kerja penyelidikan, mengumpul, mendokumentasi, menerbit dan menyebar maklumat bahan rujukan seni dan budaya kepada masyarakat terutama di peringkat akar umbi.

Sebagai contoh JKKN telah merangka dan menggalakkan pembangunan produk seni dan budaya selaras pembangunan industri kreatif mengikut acuan budaya negeri terlibat.

Seperti di Perlis, kita adakan Pesta Angin Timur dengan kerjasama kerajaan negeri bagi menyerlahkan keunikan berkonsepkan kehidupan tradisional petani selepas musim menuai melalui gaya hidup, budaya serta makanan. Begitu juga acara di ne­geri-negeri lain seperti Gendang Melayu Sarawak, Festival Antarabangsa Kesenian Orang Asli dan Peribumi KL 2016, Pesta Air Chenor Pahang dan banyak lagi.

Sejauh mana masyarakat maj­muk di Malaysia memberi kelebihan kepada usa­ha JKKN.

Percampuran budaya masya­rakat berbilang kaum telah menimbulkan keunikan tersendiri dalam pembentukan identiti sesebuah kebudayaan baharu.

Sebagai contoh budaya ma­syarakat peranakan Baba dan Nyonya yang sinonim dengan negeri Melaka dan Pulau Pinang telah mencipta baju kebaya nyo­nya dan makanan asam laksa, hasil warisan percampuran budaya. Begitu juga etnik di Sabah dan Sarawak serta masyarakat Orang Asli di Semenanjung.

Dalam hal ini, bukan kelompok masyarakat itu sahaja malah JKKN menggalas tanggungjawab itu bagi memperkukuhkan akar budaya tersebut termasuk pembangunan kebudayaan dan artistik serta promosi seni budaya itu supaya tidak lapuk ditelan zaman.

Pada era ini percampuran budaya atau ‘fusion’ yang dipelo-pori anak muda sesetengahnya menjengkelkan, pendapat Tan Sri?

‘Fusion’ atau suntikan elemen popular dalam satu-satu warisan budaya adalah satu langkah yang patut disambut baik.

Ini lebih-lebih lagi apabila usaha mempopularkan kembali produk warisan lama itu diwarnai oleh golongan muda terutama-nya melalui beberapa produk se­perti makanan dan pakaian wa­risan.

Namun demikian, beberapa suntikan budaya popular itu kadang-kadang jauh tersasar daripada produk asli seperti contoh baju Melayu yang cuba dimodenkan dan agak tersasar dari tujuan asal fungsi baju berkenaan.

Perancangan masa depan JKKN dalam mengembangkan warisan budaya agar tidak ke­kal sekadar satu amalan, seba­liknya produk komersial.

Perkara ini kembali kepada falsafah ketiga yang saya sebut tadi iaitu seni budaya untuk penjanaan ekonomi.

Pembangunan produk seni budaya dengan membina jaringan kerjasama dengan pemain industri seni budaya, agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penggiat seni budaya dari dalam dan luar negara adalah antara usaha yang telah dan sedang dilaksanakan.

Kita mahu pengamal budaya ini tidak hanya setakat hobi atau satu kebolehan turun-temurun, sebaliknya dijadikan sebagai sumber ekonomi utama.

Ini dibuktikan apabila sesuatu produk seni dibawa ke pameran antarabangsa ia sentiasa menarik minat orang luar.

Bagaimanapun diakui terdapat beberapa halangan sebagai contoh apabila produk seperti gasing dan wau bulan yang begitu halus seni pembuatannya tidak dapat memenuhi permintaan tempahan dalam skala besar kerana pengeluarannya terhad di sini.

Harapan Tan Sri?

JKKN telah melaksanakan pelbagai aktiviti dan program dalam mempertingkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat terhadap kepentingan seni dan budaya dalam kehidupan.

Ia merupakan pembangunan mental dan spiritual secara harmoni dalam usaha mewujudkan masyarakat yang mengamalkan budi bahasa dan nilai-nilai murni selain daripada memupuk sema­ngat perpaduan kaum ke arah gagasan 1Malaysia.

Saya berharap usaha ini akan terus diperluaskan seperti luas­nya sempadan komunikasi pada masa kini melalui media-media sosial.

Memang terlalu banyak ­cabaran kemajuan teknologi maklumat ini tetapi jika kita memperkukuhkan amalan budi bahasa dan nilai-nilai murni insya-Allah segalanya selamat ke arah kemajuan dan kejayaan masa hadapan dan ke­tinggian budaya dapat kita banggakan.

Percampuran budaya masyarakat berbilang kaum menimbulkan keunikan tersendiri dalam pembentukan identiti sesebuah kebudayaan.

- See more at: https://www.utusan.com.my/berita/wilayah/mengangkat-martabat-seni-budaya...

Author: 
Amirul Aiman Anuar
Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Wednesday, November 9, 2016

Add new comment

Plain text

  • No HTML tags allowed.
  • Web page addresses and e-mail addresses turn into links automatically.
  • Lines and paragraphs break automatically.
Image CAPTCHA