JKKN Mengenali Opera Cina

SESI latihan pementasan Opera Cina.
SESI latihan pementasan Opera Cina.
Ridzuan Abdul Rahman

 

Apa yang kita faham mengenai Opera Cina? Segelintir masyarakat terutama orang Melayu mungkin tidak dapat memberikan jawapan tepat kerana agak asing dengan persembahan ini.

Disebabkan itu, ia mendorong Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) memperkenalkan Siri Panggung Seni Tradisional JKKN yang mengangkat kesenian sesuatu etnik di Malaysia bagi diperkenalkan kepada umum.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Norliza Rofli berkata, objektif utama JKKN melaksanakan pementasan Opera Cina (Kantonis) dalam siri Panggung Seni Tradisional adalah untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab persembahan kesenian tradisional.

“Selain itu, ia menjadikan kesenian tradisional sebagai salah satu produk pelancongan dan membuka peluang kepada warga kota serta peminat kesenian tradisional terutama pelancong untuk menyaksikan kesenian ini dengan lebih dekat.

“Pada masa sama, dapat memelihara dan mengekalkan seni tradisional yang semakin pupus dan tiada pelapis,” katanya.

Menurutnya, dengan pementasan seperti ini juga dapat mengangkat dan memartabatkan kesenian tradisional ke taraf kecemerlangan serta meningkatkan penghayatan dan kecintaan terhadap kesenian itu.

Kumpulan The Sound of Tai Hei Chinese Opera Group akan beraksi sebagai pembuka tirai persembahan yang akan dipentaskan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) Kuala Lumpur pada 28 dan 29 Julai 2017 (Jumaat dan Sabtu) jam 8. 30 malam.

Kumpulan yang lebih dikenali sebagai Tai Hei ini ditubuhkan pada 2004 oleh sekumpulan peminat opera kantonis.

Pada awal penubuhan, ia sekadar hobi bagi mengisi masa lapang dan setiap ahli kumpulan akan berkumpul pada hujung minggu untuk mempelajari lagu kantonis Opera Cina.

Kumpulan ini mendapat bimbingan seorang penyanyi profesional opera dan lama-kelamaan ada sebilangan ahli kumpulan mampu membuat persembahan opera dengan baik.

Pada 29 April 2006, buat julung kalinya mereka mengadakan persembahan bagi acara amal untuk mengutip dana mendirikan bangunan San Dao Buddha Vihara di Petaling Jaya.

Program ini mengumpul dana yang agak lumayan dan mendapat sokongan pelbagai pihak. Sejak itu, kumpulan Tai Hei terus bergiat aktif mementaskan opera.

Mereka diketuai Datin Chang Leng Leng dan dibantu Jeff Chua dari sudut pengarahan.

Opera Cina (Kantonis) yang juga dikenali sebagai Opera Beijing atau Opera Peking bermula pada penghujung abad ke-18 dan dikembangkan secara meluas pada pertengahan abad ke-19.

Ia berbentuk teater tradisional Cina yang menggabungkan lakonan, muzik, nyanyian, tarian dan akrobatik serta dianggap salah satu harta warisan masyarakat Cina.

Perkembangannya boleh dikaitkan dengan susur galur Dinasti Song (960 - 1279 Masihi) dan mempengaruhi banyak unsur budaya tempatan di China dari semasa ke semasa.

Selain itu, pelakon Opera Cina perlu berkebolehan untuk menyanyi dan menari bagi mengembangkan plot cerita.

Mereka akan mengenakan busana tradisional dan solekan yang berlainan untuk menonjolkan watak yang berbeza, ditambah dengan ekspresi yang sesuai untuk meningkat rasa, mesej dan perasaan yang ingin disampaikan sewaktu pementasan.

Sehingga kini, selain berfungsi sebagai hiburan, Opera Cina sarat dengan nilai agama, budaya dan diselitikan unsur jenaka.

Kumpulan Tai Hei akan menampilkan tiga persembahan iaitu The Wedding Night, The Banquet dan The Fairy Tales (Love Story).

Norliza turut berharap pementasan seni tradisional yang dipentaskan secara berkala akan memberi peluang kepada warga kota menghayati dan menghargai keindahan seni budaya yang hampir dilupakan.

“Ia juga diharap dapat menarik minat pelancong asing dan tempatan mengenali seni warisan turun-temurun masyarakat Malaysia,” katanya.

Tiket masuk sudah mula dijual dengan harga RM20 dan RM50. Tempahan boleh dibuat menerusi Urusetia JKKN atau Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic).

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2017 @ 4:25 AM
Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Friday, July 21, 2017

Add new comment

Plain text

  • No HTML tags allowed.
  • Web page addresses and e-mail addresses turn into links automatically.
  • Lines and paragraphs break automatically.
Image CAPTCHA