JKKN Sekolah Integriti, Henry Gurney Fokus Pelbagai Bidang Bangunkan Penghuninya

MELAKA -- Sekolah Henry Gurney dan Sekolah Integriti tidak hanya tertumpu  kepada akademik semata-mata, sebaliknya menumpukan pelbagai bidang termasuk kemahiran, kesenian dan sukan dalam usaha memulih serta membangunkan penghuninya.

Timbalan Komisioner Penjara S. Kausalya Devi berkata ini kerana Jabatan Penjara memahami bahawa tidak semua penghuni sekolah itu mempunyai kecenderungan untuk cemerlang dalam akademik, tetapi mereka juga mampu menyerlah dalam bidang lain seperti kemahiran.

Justeru katanya jabatan itu mahu setiap penghuni dipulih serta dibangunkan mengikut kebolehan masing-masing dan mampu menjadi anggota masyarakat yang menyumbang untuk pembangunan negara apabila  keluar kelak.

“Jabatan Penjara optimis membangunkan dan membina semula potensi pelajar termasuk membentuk ketrampilan diri dan menonjolkan sifat-sifat kepimpinan penghuni muda di samping membentuk minda yang positif dan inovatif dalam kalangan para pelajar walaupun digelar kurang bernasib baik.

"Proses ini diharap meningkatkan lagi tahap jati diri dan kekuatan dalaman (pelajar) yang ampuh bagi menghadapi cabaran persekitaran selain memenuhi tuntutan peluang kedua yang disediakan oleh Jabatan Penjara," katanya kepada pemberita selepas menutup Program Ekspresi Kesenian dan Kebudayaan Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney  di sini hari ini.

Kira-kira 100 peserta dari Sekolah Henry Gurney dan Sekolah Integriti terlibat dalam program dengan kerjasama Microsoft Malaysia berlangsung di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Ayer Keroh di sini yang turut dihadiri Pengarah JKKN Melaka Zulkarnain Ramly.

Terdapat sembilan buah Sekolah Integriti dan tiga Sekolah Henry Gurney di seluruh negara dan hampir 600 penghuni mengikuti pembelajaran akademik di dua sekolah berkenaan.

Sementara itu, beliau meminta agar JKKN dapat mempertimbangkan cadangan untuk mengeluarkan sijil kepada peserta program anjuran jabatan JKKN bagi membolehkan mereka menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

"Jadi saya rasa bukan setakat pengajaran semasa mereka berada di dalam (sekolah) kerana sekiranya mereka diberikan sijil penyertaan program kesenian, mungkin mereka boleh menyambung pengajian atau pun kursus dalam bidang kesenian (malah mungkin) melayakkan mereka bergelar fasilitator sebagai kerjaya.

"Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada JKKN yang menghantar fasilitator kepada beberapa sekolah bagi tujuan pengajaran dalam bidang kesenian yang mungkin boleh menjadi punca pendapatan mereka apabila keluar (bebas) nanti," katanya.

-- BERNAMA

Akhbar: 
BERNAMA
Publish date: 
Wednesday, September 13, 2017

Add new comment

Plain text

  • No HTML tags allowed.
  • Web page addresses and e-mail addresses turn into links automatically.
  • Lines and paragraphs break automatically.
Image CAPTCHA