JKKN Teater sebagai pentas pembelajaran alternatif kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Mesej ringkas dibawa dalam teater kanak-kanak Sarian Tiana The Musicalmemupuk kesedaran tentang betapa pentingnya tanggungjawab manusia dalam menjaga alam sekitar daripada dimusnahkan tangan mereka sendiri.

Dipentaskan pada Sabtu di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kuala Lumpur oleh Kengkawan Project, produksi ini merupakan kerjasama JKKN dan Institut Terjemahan dan Buku Negara (ITBN),

Teater ini mengisahkan seorang puteri empayar dasar laut, Puteri Tiana yang sangat taksub dan ingin meneroka kehidupan manusia di daratan.

Dek rasa ingin tahunya yang tinggi itu, suatu hari dia memancarkan cahaya daripada tongkat saktinya kepada dunia luar sehingga dua manusia, Eliah dan Fea secara tidak sengaja masuk ke dunia empayar yang dipimpin ibunya, Ratu Sisca.

Ketibaan dua manusia itu tepat pada masa temasya tari-menari tahunan yang diamalkan sejak zaman-berzaman oleh empayar tersebut dilangsungkan, dan mereka turut dijemput sebagai tetamu kehormat untuk menyaksikan keindahan dan kehebatan kerajaan dasar laut itu.

Malangnya pada ketika temasya berlangsung, satu bencana pembuangan sisa toksik besar-besaran oleh manusia berlaku hingga menyebabkan kemusnahan hidupan dasar laut.

Eliah dan Fea, manusia yang bersih hatinya dipersalahkan atas perbuatan hina bangsanya, namun pertelingkahan dileraikan Ratu Sisca secara bijaksana.

Ratu Sisca mengajar dan memohon Eliah dan Fea menyedarkan manusia tentang bahana tindakan mereka kepada alam seluruhnya. Cerita diakhiri dengan dua manusia itu dikembalikan ke dunia asal mereka.

Pembinaan insaniah kanak-kanak

Mesej yang klise dan penyampaian yang terus serta mudah, namun bukan itu sahaja yang menjadi penekanan utama produksi ini. Ia lebih kepada pra-produksinya.

Projek yang bermula sejak enam bulan lepas, daripada kelas pembelajaran 'Acting Through Song' yang dikelolakan bersama dengan Shafi Vocal Studio kendalian guru vokal Shafizawati Sharif atau lebih dikenali dengan nama Cikgu Shafi.

Pada awalnya, seramai 27 orang kanak-kanak berusia lingkungan 4 tahun hingga 15 tahun menyertai kelas tahap satu yang memulakan sesi pertamanya pada Mac 2016 di mana mereka diajar asas muzik, menari dan menyanyi seiring teknik asas lakonan.

Pengarah dan penulis skrip, Fateha Hanif berkata pementasan Sarian Tiana bertindak sebagai platform pendedahan kanak-kanak kepada teater, yang menjadi medium pembelajaran insaniah.

Dia melihat sepanjang proses menuju pementasan 'graduasi' itu telah banyak membina sahsiah diri juga keyakinan peserta dalam berdepan khalayak dengan cara berinteraksi yang baik.

"Ibu bapa perlu tahu dan sedar bahawa teater adalah satu pembelajaran alternatif, pembelajaran seumur hidup yang sepatutnya didedahkan kepada kanak-kanak pada usia yang awal.

"Sedihnya kita tidak banyak teater kanak-kanak, mungkin kerana tiada kanak-kanaknya," ujarnya.

Justeru jelasnya, peranan ibu bapa sangat penting dalam membimbing anak-anak menjadi manusia yang bukan sahaja tinggi pendidikan tetapi juga tinggi akal budi.

Sementara itu, penulis skrip bersama, Eiza Ali berharap ibu bapa tidak memandang serong teater sebagai medium yang mendedahkan kanak-kanak kepada dunia hiburan yang stigmanya penuh dengan kontroversi.
 

Sarian Tiana The Musical
Barisan pelakon cilik teater, 'Sarian Tiana The Musical' yang dipentaskan di Auditorium JKKN, Kuala Lumpur. - Gambar Astro AWANI/Israr Khalid

Peranan pihak penganjur

Kedua-dua mereka turut mengharapkan lebih banyak teater kanak-kanak dapat dianjurkan dalam usaha merancakkan kancah teater di negara ini.

Selain ibu bapa yang memberi kebebasan dan galakan kepada anak-anak untuk meneroka dunia teater, penganjur turut memainkan peranan penting.

 

Tegas Fateha, kebanyakan penganjur masa kini lebih 'memilih bulu', hanya melihat kepada keuntungan yang dapat dikuat tanpa menitik beratkan soal pembangunan masyarakat dari akar umbi.

"Kami beruntung dengan adanya badan kerajaan seperti JKKN dan ITBM yang sudi bersama menganjurkan pementasan ini.

"Saya harap semua pihak dapat bersatu dan memainkan peranan masing-masing kerana ini (kerancakan teater negara) adalah untuk masa depan negara juga," katanya.

Kengkawan Project bersama Sanggar Teater Fauziah Nawi juga berhasrat untuk meneruskan kelas bagi siri seterusnya untuk meneruskan kesinambungan juga membuka ruang lebih luas kepada lebih ramai kanak-kanak untuk disertai.

Bagaimanapun katanya, cabarannya tetap sama seperti mana-mana produksi teater di negara ini, sama ada produksi kecil atau besar: kurang tempat latihan.

Author: 
Israr Khalid
Akhbar: 
Astro Awani
Publish date: 
Sunday, August 28, 2016